SEPANG – UMNO Bahagian dan Pemuda UMNO Sepang mendesak Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP, Ketari, Young Syefura Othman meletak jawatan berikutan tindakannya yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sepang, Azwan Muhamad berkata, tindakan ADUN berkenaan adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana beliau sebelum ini antara yang lantang menyelar menteri dan ahli politik lain yang melanggar SOP.
Menurutnya, sebagai seorang wakil rakyat, Young Syefura atau Rara tidak sepatutnya melanggar SOP dan perbuatan itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.
Katanya, pimpinan DAP juga dilihat mendiamkan diri berhubung isu berkenaan dan sepatutnya mereka mengambil tindakan tegas ke atas kesalahan dilakukan pemimpin berkenaan.
“Kami mendesak polis menjalankan siasatan berhubung perkara terbabit dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada pemimpin berkenaan” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang hari ini.
Dua laporan polis dibuat dan turut dihadiri Exco pemuda Sepang, Faris Katran.
Kelmarin, tular di media sosial berhubung penyebaran gambar perkelahan ADUN Pahang itu di pantai Avani Sepang Gold Coast Resort, Bagan Lalang yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Gambar memaparkan beliau tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal itu telah dipadam setelah tular di media sosial.
Pada masa sama, Young Syefura atau lebih mesra dengan panggilan Rara turut memohon maaf dan sedia disiasat polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima dua laporan berhubung kes terbabit.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurut sumber, polis telah mengarahkan ahli politik berkenaan hadir ke IPD Sepang bersama rakan untuk diambil keterangan. – MalaysiaGazette
Smpah