PUTRAJAYA – Sebanyak 919 kes positif baharu Covid-19 dikesan manakala 996 kes pulih Covid-19 direkodkan untuk tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari.
Berikutan itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 11,419 kes manakala jumlah kes positif keseluruhan adalah 43,791 kes dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 32,069 kes bersamaan 73.2 peratus daripada keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah mencatatkan sebanyak 319 kes atau 34.7 peratus kes pada hari ini manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 224 kes atau 24.4 peratus.
“Manakala Negeri Sembilan pula mencatat 240 kes (26.1 peratus) di mana 236 kes daripadanya adalah daripada kluster-kluster sedia ada.
“Ingin dimaklumkan daripada 919 kes baharu pada hari ini, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Kes-kes tersebut melibatkan dua warganegara dan satu (1) bukan warganegara yang tiba dari Indonesia (1 kes), Nigeria (1 kes); dan Arab Saudi (1 kes),” katanya.
Menurut Dr. Noor Hisham, terdapat 92 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 35 kes memerlukan bantuan pernafasan, selain satu kematian direkodkan hari ini.
“Tiga kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 9 dan 10 November 2020.
“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 27 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Bangunan Kompleks Sukan Likas,” kata beliau sambil mengisytiharkan penamatan Kluster Pulau, Kluster Bah Rose dan Kluster Ketil.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan satu kluster baharu iaitu Kluster Teluk melibatkan daerah Kota Kinabalu di Sabah. – MalaysiaGazette