KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa minta semua pihak terutama pengusaha besar berpandangan positif apabila beliau mencadangkan menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai ‘wilayah bebas berniaga’ dan pusat mencari rezeki golongan kecil.
Menteri Wilayah Persekutuan itu memahami masalah dihadapi oleh mereka tetapi pada masa sama, rakyat miskin yang hilang mata pencarian akibat Covid-19 juga mempunyai tanggungan keluarga.
“Saya harap mereka ubah sikap, jangan terlalu memikirkan hanya soal kita. Walaupun saya tahu mereka juga susah tetapi jangan kita memandang sepi pada masalah orang kecil yang nak buka warung, nak jual nasi lemak.
“Mereka juga ada tanggungan, mereka ada anak, ada rumah sewa, mereka nak kena bayar bil elektrik dan sebagainya,” katanya dipetik menerusi rakaman video lidah rasmi Wilayah hari ini.
Annuar berkata, beliau mencadangkan perkara itu kerana pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan hanya memberi kesan kepada syarikat besar dan golongan atasan, malah rakyat bawahan juga turut hilang punca pendapatan.
Oleh itu, beliau menggesa supaya semua pihak berlapang dada dan memberi peluang kepada individu terjejas khususnya ‘orang kecil’ mencari rezeki menerusi jualan kecil-kecilan.
“Wilayah Persekutuan sebagai pusat mencari rezeki menjadi satu wilayah bebas berniaga. Apabila saya kata bebas berniaga, bukan bermakna semua orang boleh buat sesuka hati, melanggar peraturan, tidak mengikut SOP dan tidak ada peraturan, tidak begitu.
“Saya percaya dan saya faham ‘orang kecil’ ini memahami perkara ini kerana mereka adalah rakyat yang bertanggungjawab,” katanya.
Cuma ujar Annuar, alasan setengah pihak mentafsirkan seolah ia satu langkah yang tidak berfikir panjang dan memburukkan keadaan Kuala Lumpur itu tidak benar.
“Mereka kata selepas ini akan ada tikus merayau, akan berlaku kesesakan, akan berlaku kekotoran. Saya fikir kenapa kita nak ambil sikap negatif begitu?
“Kita yang bercakap, termasuk peniaga besar, janganlah terlalu tamak hanya memikirkan soal kita, kita kena juga fikir orang-orang kecil yang lain.
“Lagi pun ini adalah langkah sementara untuk tempoh enam bulan yang pertama untuk memberi seberapa luas yang mungkin peluang kepada mereka mencari rezeki,” katanya. – MalaysiaGazette
Betul TS ..Memang syarikat besar iri hati kepada peniaga kecil kerana bagi mereka perniagaan adalah Hak mutlak mereka saya..
Setengah mereka sudah lupa daratan bahawa ada setengahnya bermula sebagai peniaga kecil sebelum menjadi syarikat besar.
Sepaptutnya mereka memberi kerjasama serta membantu supaya keuntungan dapat dinikmati bersama.
Ini juga dapat menghapuskan ketitisan kehidupan dan mengurangkan kemiskinan bandar .
Teruskan usaha TS dan harap PBT diseluruh negara dapat ikut seperti DBKL dalam menghadapi musibah yg menggangu kehidupan kita.