KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing sepatutnya dibuang daripada jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke China kerana membuat serangan peribadi kepada Ketua Pengarah Kesihatan.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam masa yang sama juga mempertikai peranan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba yang didakwanya gagal mempertahankan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Malah, katanya, kenyataan daripada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Noor Azmi Ghazali malam semalam yang mengatakan tindakan mengecam kredibiliti dan pengorbanan Noor Hisham dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19 dalam negara sebagai satu perkara yang tidak munasabah dan tidak bertanggungjawab ini hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya mengenai peranan Menteri Kesihatan dalam perkara yang sama.
“Apabila seorang Menteri Kesihatan tidak mampu untuk mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan beliau, apakah gunanya Menteri Kesihatan ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang juga menyifatkan King Sing sebagai pengecut kerana sebagai seorang ahli Parlimen sejak lima penggal pemimpin itu sepatutnya tahu bukannya Ketua Pengarah Kesihatan yang sepatutnya bertanggungjawab kepada Parlimen mengenai apa-apa perkara yang berlaku dalam Kementerian Kesihatan.
“Mengapa menyerang Ketua Pengarah Kesihatan tetapi membiarkan Menteri Kesihatan terlepas melainkan jika terdapat elemen politiking,” katanya.
Kit Siang juga mempertikaikan kenapa King Sing tidak Perdana Menteri yang bertanggungjawab secara keseluruhannya terhadap pengendalian wabak Covid-19 dalam negara memandangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara berhadapan dengan wabak Covid-19.
“Penting untuk diingat, yang King Sing mendapat sokongan penuh UMNO dalam serangan beliau kepada Dr Noor Hisham.
“Tindakan KIng SIng yang cuba mengatakan Dr Hisham mahu menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah satu serangan yang bersifat jahat dan peribadi,” kata Kit Siang.- MalaysiaGazette