Seorang wanita penganut agama Hindu kelihatan sibuk memilih barangan hiasan sebagai persiapan akhir sempena sambutan perayaan Deepavali yang bakal tiba semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang tekanan atau unsur berbaur perkauman apabila kerajaan meminta penganut Hindu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ketika menyambut perayaan Deepavali, esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP sama digunakan bagi semua perayaan termasuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Tidak banyak perbezaan antara SOP mana-mana perayaan, jangan nanti ada pihak tertentu cuba meniup isu perkauman dengan mendakwa kerajaan memberi tekanan dan menyusahkan penganut Hindu nak sambut Deepavali.

“Waktu perayaan Aidilfitri pun banyak kenderaan yang cuba merentas negeri di arah berpatah balik oleh polis melalui sekatan jalan raya. Perkara ini pun sama musim perayaan Deepavali.

“Oleh itu, lebih baik tidak teruskan niat hendak rentas negeri untuk balik kampung.

“Masa hari perayaan pula, polis akan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara SOP itu ialah bagi lokaliti yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hanya keluarga dalam satu rumah itu sahaja boleh meraikan perayaan.

Ismail Sabri Yaakob

Manakala di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) pula jiran boleh menziarah, tetapi tidak lebih 20 orang dalam satu-satu masa.

“Seperti biasa, SOP PKPD dan PKPB tidak membenarkan rentas negeri dan daerah. Sekatan jalan raya (SJR) akan dilakukan di sempadan negeri dan daerah.

“Saya harap tidak ada yang berniat balik kampung rentas negeri dan daerah. Tujuan kerajaan laksanakan SOP ini semata-mata untuk menjaga keselamatan dan nyawa rakyat,” katanya.

Bagi yang menghadiri kuil untuk sembahyang, Ismail Sabri berkata, SOP hanya membenarkan 30 orang untuk satu-satu masa berada di kuil selama 30 minit dan diselang seli dengan operasi sanitasi nyahkuman di kuil.

Mengenai trafik di jalan raya utama dan lebuh raya, setakat ini keadaan terkawal, tidak ada kesesakan lalu lintas luar biasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast