Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kajian menunjukkan individu berusia, obes, pesakit diabetes dan hipertensi berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 lebih serius dan boleh membawa maut.

Justeru gaya hidup sihat perlu dijadikan amalan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Lebih-lebih lagi dalam keadan negara dilanda wabak Covid-19 yang tidak dilihat akan berakhir dalam masa terdekat.

“Pada waktu perayaan Deepavali ini, amalkan pemakanan secara berhemah dan teruskan gaya hidup yang sihat. Elakkan tempat yang sesak dan sempit, dan elakkan sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (3C). Amalkan mencuci tangan dengan kerap dan betul, memakai pelitup muka dan patuhi amaran serta peringatan yang dikeluarkan oleh KKM (3W),” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Menurut Noor Hisham, sempena Hari Diabetes Sedunia tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan kepada semua rakyat Malaysia untuk mencegah dan kawal penyakit diabetes melalui amalan gaya hidup sihat.

“Amalkan pemakanan seimbang, gaya hidup yang aktif, tidak merokok, memupuk minda sihat dan menghindari daripada pengambilan alkohol yang berlebihan.

“Kesihatan kita, Milik kita, Tanggungjawab kita’. Lakukan saringan kesihatan secara berkala dengan memeriksa status BMI, tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol dalam darah.

“Untuk pesakit diabetes, pemantauan kendiri paras gula dalam darah sangat digalakkan dan boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan glucometer,” katanya lagi.

KKM telah merangka pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit termasuklah memperkukuhkan semula program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) di peringkat komuniti bagi mempromosikan cara hidup sihat dan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat setempat di seluruh negara.

Sukarelawan di peringkat komuniti telah dilatih melalui KOSPEN dan program intervensi ini akan dijalankan dengan lebih efektif dan meluas ke arah memperkasakan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, katanya.

“KKM amat berharap agar rakyat Malaysia sentiasa beriltizam untuk terus menjaga kesihatan bagi mencegah penyakit diabetes terutama kepada mereka yang berisiko. Kita harus menjadi inspirasi dan motivasi kepada keluarga, sahabat dan masyarakat sekeliling untuk menjalani gaya hidup yang sihat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast