Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) didakwa gagal meyakinkan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan sewajarnya bagi ‘menyegarkan’ kembali industri pelancongan negara.

Dakwaan itu dibangkitkan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) apabila mendapati MOTAC hanya mampu memperoleh tiga inisiatif yang dianggap tidak begitu membantu penggiat pelancongan secara amnya.

Menurut Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun, persatuan itu telah mengadakan perbincangan dengan ahli melalui webinar Jumaat lalu, yang tertumpu pada pembentangan Belanjawan 2021.

“Hasil perbincangan itu, kita dapati MOTAC gagal untuk meyakinkan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan yang sewajarnya untuk memulihkan kembali industri pelancongan negara.

“Tiga inisiatif yang MOTAC dapat dari Kementerian Kewangan, tetapi tidak membantu penggiat pelancongan ialah program latihan dan penempatan semula 8,000 kakitangan penerbangan yang berjumlah RM50 juta.

“Pada masa sama, kementerian telah mengenepikan kakitangan sektor perhotelan dan agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Khalid, dua lagi inisiatif yang MOTAC dapat ialah Geran Khas Prihatin Tambahan (Sabah) sebanyak RM1,000, sedangkan penggiat industri pelancongan di lain-lain negeri di Malaysia yang benar-benar memerlukan dipinggirkan.

Selain itu, MOTAC turut mendapat perhatian dari Kementerian Kewangan peruntukan untuk peluang pekerjaan sebagai jurupandu pelancong bagi komuniti setempat dan Orang Asli seramai 500 orang sedangkan ia sepatutnya diberi terus kepada industri pelancongan.

Sementara itu, kata beliau, peruntukan lain yang dibentangkan dan diletakkan di bawah MOTAC juga sebenarnya tidak dimiliki oleh kementerian itu.

Beliau memberi contoh, peruntukan untuk penyelenggaraan kemudahan pelancongan sebanyak RM50 juta padahal program ini di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Juga peruntukan bagi pemeliharaan bangunan warisan kebangsaan berjumlah RM10 juta sedangkan program ini dimiliki oleh Kementerian Kerja Raya.

“Ini termasuklah peruntukan bagi Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) sebanyak RM35, yang mana MHTC ini adalah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

“Manakala pengecualian Levi Tabung HRDF selama enam bulan yang diberikan Kementerian Kewangan adalah program yang diperjuangkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Persoalannya, apakah yang dilakukan oleh pegawai di MOTAC? Ini antara bukti kegagalan kementerian itu untuk melibatkan penggiat industri ketika dalam merancang peruntukan,” katanya.

Sehingga ini, kata Mohd Khalid, pegawai MOTAC dikatakan gagal membantu MATA dalam meyakinkan institusi kewangan untuk menyalurkan dana Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA sebanyak RM1 bilion yang hanya tiga peratus sahaja diluluskan oleh bank.

“Kami berasa agak lega sedikit selepas dimaklumkan oleh Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang beliau berjaya mendapatkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta sebagai pakej rangsangan.

“Cuma kami berharap pegawai di MOTAC dapat menguruskannya dengan kadar segera kerana peruntukan sedia ada untuk pakej rangsangan pelancongan domestik tahun ini masih tidak dibelanjakan lagi walaupun telah diumumkan Julai lalu.

“Demi kelangsungan industri pelancongan, kami berharap pegawai di MOTAC dapat bangkit dan bersama merasakan nadi kesengsaraan penggiat industri ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast