KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berikrar akan memastikan pihak yang terlibat dalam isu pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang Ogos lalu akan dibawa ke muka pengadilan.
Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, NGO itu akan menghantar satu memorandum ke Pejabat Menteri Besar Pahang Rabu ini sebagai bantahan rakyat terhadap perbuatan terkutuk itu.
“Ini langkah pertama kami. Jika gagal, kita akan susuli dengan langkah kedua, ketiga dan seterusnya.
“Selagi terdaya, saya dan rakan NGO akan bongkar pengkhianatan mereka ini. Kita tunggu dan lihat.
“Jangan ingat kamu ada kuasa, kamu akan terlepas dari hukuman. Kamu boleh lari, tapi kamu tidak boleh bersembunyi,” katanya dengan nada amaran kepada pihak yang terlibat dalam isu pencerobohan tanah itu.
Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang dikatakan mula bertindak tegas menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram atas tanah kerajaan negeri.
Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.
Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.
Mengulas lanjut perkara itu, Aminuddin berkata, kes itu kini sepi dan tidak lagi menjadi tumpuan pihak tertentu, yang mana di awal kes ramai tampil mendesak tindakan undang-undang diambil ke atas peneroka haram terbabit.
Kata beliau, tindakan susulan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Pejabat Tanah dan Galian serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak lagi kedengaran.
“Mustahil penceroboh tanah berkenaan dapat menjalankan aktiviti tanpa ada perlindungan pihak tertentu dan isu itu kini bukan sahaja sudah menjadi ‘sejuk’, malah mungkin ada yang sudah lupa.
“Saya hendak memberi amaran kepada mereka yang menjadi pengkhianat bangsa dan tanah air, saya dan rakan tidak akan duduk diam dan berikrar akan pastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.
“Oleh itu, saya menyeru dan merayu kepada rakyat sekalian terutama anak-anak negeri Pahang untuk bangkit menentang segala pengkhianat ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Biasa lah. Hangat hangat taik ayam. Kita boleh jangka perkara ni tak kemana pun.