Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh menetapkan apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada Diperketatkan mahupun Bersyarat selain berkaitan hal ehwal agama Islam.

BIni kerana menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan dan ketetapan SOP berkaitan hal ehwal agama berada di bawah bidang kuasa sultan dan kerajaan negeri.

Ini katanya, termasuk soal had jumlah dan kebenaran jemaah untuk menunaikan solat waktu dan solat Jumaat.

“Jika kita lihat, ada perbezaan ketetapan mengikut negeri kerana ianya dibuat di bawah kuasa negeri masing-masing secara mutlak.

“Mufti Negeri yang akan membuat ketetapan SOP itu setelah mereka mendapat perkenan sultan negeri masing-masing,” katanya dalam wawancara dengan Bernama TV malam tadi.

Beliau turut menyentuh isu jumlah individu dalam sebuah kenderaan, iaitu kereta, yang mana katanya, sebelum ini hanya dua orang dibenarkan tetapi sejak semalam kerajaan mempertimbangkan kepada tiga orang.

Rasionalnya, kata beliau, setiap SOP yang ditetapkan bukan kerana kerajaan hendak menyusahkan rakyat sebaliknya untuk keselamatan mereka.

“Dalam soal ini budi bicara polis berperanan penting jika masalah ibu bapa yang tidak boleh meninggalkan anak mereka di rumah ketika keluar membeli barangan keperluan dan perkara ini pasti boleh dijelaskan kepada polis untuk dipertimbangkan.

“Selain itu, kenapa ketetapan ini dibuat? Ialah untuk mengehadkan pergerakan rakyat.

“Cuba bayangkan, kita benarkan empat orang untuk sebuah kereta, keempat orang ini akan berada di tempat awam dan pasti akan menyesakkan tempat tertentu, berbanding jika kita hanya membenarkan dua orang yang akan ke tempat awam,” katanya.

Beliau menyatakan, tujuan asal ialah kerajaan mahu meminimumkan rakyat yang keluar rumah dan ini satu-satunya cara terbaik.

Kata Ismail, jika kerajaan membenarkan empat orang keluar, sudah tentu tempat yang dituju itu dipenuhi dengan 1,000 orang.

Ismail Sabri Yaakob

“Tetapi, setelah kita hadkan kepada hanya dua orang, tempat tersebut hanya menerima dan dikunjungi oleh 500 orang sahaja.

“Justeru, kita boleh mengurangkan 500 pergerakan individu yang boleh dijangkiti atau kerajaan telah mengurangkan risiko jangkitan untuk jumlah 500 orang yang tidak keluar ke tempat tersebut.

“Ini rasionalnya dan bayangkan jika jumlahnya jutaan?,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pertikaian orang ramai kenapa perlu ada arahan bekerja di rumah.

Katanya, apabila ketetapan itu dikuatkuasakan untuk Selangor dan Kuala Lumpur sahaja sejumlah satu juta pekerja yang sepatutnya keluar setiap hari ke tempat kerja dan berada di kawasan terbuka boleh merisikokan diri mereka dengan jangkitan.

Sekurang-kurangnya dengan arahan itu, kerajaan telah menyelamatkan 1 juta orang dari terdedah kepada risiko jangkitan kerana mereka tidak lagi berada di tempat awam dan terbuka.

“Logiknya amat mudah difahami, tetapi perkara ini sengaja dijadikan isu oleh pihak tertentu untuk menimbulkan pertikaian dari kalangan netizen dan rakyat.

“Dalam masa sama, saya faham semua kita merasai kesan dari PKPB ini tetapi ianya harus dilakukan untuk kebaikan kita bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast