KUALA LUMPUR – Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) yang disepakati oleh semua negara pertubuhan serantau itu menjadi pencapaian paling bermakna bagi Malaysia dalam Sidang Kemuncak Ke-37 kali ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerangka yang dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Sidang Kemuncak ASEAN+3 pada April lalu menyerlahkan lagi keupayaan dan kepimpinan Malaysia dalam usaha memperkasa ASEAN mendepani cabaran serantau serta global terutamanya pandemik Covid-19.
“Kita telah wujudkan banyak jawatan kuasa tinggi dengan negara-negara strategik tetapi kerana Covid-19 ia telah menjadi keperluan yang mendesak untuk kita melihat pendekatan-pendekatan di luar kotak.
“Jadi ACRF yang dicadangkan oleh Perdana Menteri pada April bukan sahaja tepat pada masa malah berpandangan jauh. Saya juga lega kerana kerangka kerja itu diterima oleh kesemua pemimpin dalam sidang kemuncak kali ini,” katanya dalam sidang media sempena penutup Kemuncak ASEAN Ke-37 yang berakhir hari ini.
ACRF berfungsi sebagai rujukan utama untuk memandu arah strategik dan memfokuskan pemulihan Covid-19 ASEAN selain mengkoordinasi sokongan bagi usaha pemulihan dari pihak berkepentingan ASEAN, dalam dan juga luar.
Kerangka kerja tersebut meliputi lima strategi utama iaitu meningkatkan sistem kesihatan; memperkukuh aspek keselamatan, memaksimumkan potensi pasaran Intra-ASEAN dan memperluas integrasi ekonomi; mempercepatkan transformasi digital inklusif dan melangkah ke arah masa depan yang lestari dan berdaya tahan.
Sidang kemuncak yang berlangsung dari 12 November menerusi persidangan secara maya itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi ASEAN 2020. -Malaysia Gazette