KUALA LUMPUR – Umum mengetahui, Zoo Negara antara yang turut terjejas apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac bagi mengekang penularan Covid-19.

Zoo Negara misalnya pernah mengumumkan ia memerlukan bantuan makanan untuk diberikan kepada haiwan-haiwannya.

Selepas membantu penduduk Selangor yang terjejas akibat gangguan bekalan air baru-baru ini, pendakwah bebas, Ebit Lew turut menghulurkan bantuan kepada pemandu teksi.

Hari ini Ebit Lew turut membawa 200 kilogram (kg) daging lembu dan 500 kg buah-buahan dan sayur-sayuran kepada haiwan-haiwan di Zoo Negara.

“Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari zoo negara untuk selamatkan haiwan disana. Perbelanjaan mereka 1 juta sebulan hanya untuk makanan dan penyelenggaraan zoo.

“Sekarang dah banyak bulan tiada langsung pendapatan semenjak awal pkp. Mereka sangat kekurangan dana,” tulisnya di Facebook.

Beliau turut menyeru agar mana-mana pihak yang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan kepada Zoo Negara agar haiwan-haiwan di dalamnya dapat meneruskan kehidupan.

Malah, Zoo Negara yang menempatkan lebih 4,000 haiwan hanya meraih pendapatan menerusi hasil jualan tiket yang turut terjejas.

Berikutan itu, Zoo Negara mempromosikan kempen haiwan angkat sebagai salah satu usaha untuk memastikan bekalan makanan, perubatan dan pengurusan haiwan-haiwan ini terbela.

Pada April yang lalu, Zoo Negara menerima hampir RM1 juta sumbangan daripada pelbagai lapisan rakyat Malaysia.-MalaysiaGazette