SUNGAI PETANI – Polis menahan reman seorang kontraktor bagi membantu siasatan berhubung penipuan pembinaan dan pengubahsuaian rumah membabitkan kerugian kira-kira RM535,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kedah, Supt Elias Omar berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di sini pada 10.30 malam tadi selepas enam jam dijejaki polis.
Katanya, suspek ditangkap susulan sembilan laporan yang diterima polis mengenai kegiatannya memperdaya mangsa dengan mengiklankan urusan pembinaan dan pengubahsuaian rumah melalui laman sosial Facebook.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku telah menggunakan wang pendahuluan yang dibayar mangsa untuk tujuan pusingan modal perniagaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan seramai 17 individu dari tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, mengalami kerugian sebanyak RM481,000 selepas ditipu sebuah syarikat pembinaan sejak 2017.
Kesemua mangsa mendakwa membuat bayaran pendahuluan kepada syarikat terbabit untuk projek pembinaan dan pengubahsuaian rumah namun projek yang dijanjikan gagal disiapkan. – Bernama