KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,668 permohonan perakuan penginapan dicatatkan dalam tempoh dua bulan sepanjang September dan akhir Oktober susulan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.
Daripada jumlah keseluruhan permohonan ini merangkumi 472 majikan dan 51 penyedia penginapan berpusat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sebanyak 1,322 penguatkuasaan atau pemeriksaan di seluruh Semenanjung Malaysia dalam tempoh dua bulan berkenaan.
Penguatkuasaan ini merangkumi 1,305 buah majikan dan juga 17 penyedia penginapan berpusat.
“Pelaksanaan penguatkuasaan yang berterusan sejak 1 September 2020 sehingga 1 November 2020 telah merekodkan permohonan perakuan penginapan yang memberangsangkan daripada pihak majikan dan juga penyedia penginapan berpusat,” katanya menerusi kenyataan.
Akta 446 yang dikuatkuasakan bermula 1 September lalu telah menetapkan keperluan kepada para majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Sejak 1 September 2020 juga, JTKSM Ibu Pejabat dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri telah melaksanakan penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan para majikan dan penyedia penginapan berpusat patuh terhadap Akta 446.
Katanya, pematuhan terhadap Akta 446 amat penting dan penguatkuasaan yang berterusan adalah perlu kerana ia merupakan bukti Malaysia mengikuti piawaian yang digariskan oleh pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) khususnya dalam aspek membanteras elemen buruh paksa.
Selain itu, pematuhan dan pelaksanaan akta ini juga secara tidak langsung akan membantu dalam menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Perkara ini amat signifikan kepada negara memandangkan penyediaan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja adalah antara elemen penting dalam kriteria buruh paksa.
“Aspek penginapan dan kediaman pekerja ini telah mendapat teguran daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat khususnya membabitkan sektor pembuatan sarung tangan getah dan industri kelapa sawit negara,” katanya lagi.
KSM tambah Saravanan turut memainkan peranan dalam membanteras pemerdagangan orang dalam kalangan komuniti industri buruh negara.
“Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan turut dilakukan secara berterusan dan ini jelas menunjukkan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dalam isu buruh paksa mahupun pemerdagangan orang,” tambahnya. – MalaysiaGazette