Masidi Manjun

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas Penempatan Telipok dan Kampung Numbak di sini, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 29 November.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat serta penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD bagi kawasan tersebut ialah sama seperti SOP PKPD yang diumumkan sebelum ini. Antaranya, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang manakala pasar dibenarkan beroperasi dua kali seminggu bermula 6 pagi hingga 2 petang,” katanya dalam kenyataan.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata, seorang wakil daripada setiap keluarga dibenarkan keluar dari kawasan PKPD bagi tujuan mengeluarkan duit daripada mesin pengeluaran wang atau bank dengan kebenaran pihak berkuasa yang membuat kawalan di jalan keluar masuk di kedua-dua lokaliti tersebut.

Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, negeri itu merekodkan 381 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 23,095 kes.

Kes baharu hari ini merangkumi 95 di Kota Kinabalu, Tawau (65 kes), Sandakan (51 kes), Semporna (48 kes) dan Lahad Datu (34 kes).

Selain itu, tiga kematian baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas iaitu dua di Sandakan dan satu di Semporna.

Sementara itu, Masidi berkata, setakat hari ini, sebanyak 169,345 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasaran. – Bernama