JOHOR BAHRU – Polis berjaya membongkar kegiatan perjudian di dua buah premis di Taman Sentosa, di sini, yang dijadikan ‘mini kasino’ dan menahan 40 lelaki serta 17 wanita, yang terdiri daripada warga tempatan dan asing dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang berumur antara 13 dan 70 tahun itu ditahan dalam serbuan bermula pada 12 tengah hari, susulan maklumat orang awam serta hasil risikan dan siasatan sejak minggu lepas.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah premis di Jalan Sentosa 2, polis menahan 19 lelaki serta lima wanita termasuk seorang wanita rakyat Singapura, dan menemukan sebuah mini kasino yang berselindung di sebalik pusat latihan snuker, dipercayai baru beroperasi dua hari lepas.
Menurutnya, dalam serbuan kedua di sebuah rumah tumpangan yang bahagian dalamnya diubah suai menjadi mini kasino di Jalan Rusa pula, polis menahan 21 lelaki dan 12 wanita termasuk enam wanita warga negara China serta seorang wanita Indonesia.
“Polis percaya sindiket judi berkenaan sebelum ini beroperasi di tempat lain dan mereka sering mengubah lokasi untuk elak dihidu pihak berkuasa,” kata beliau yang ditemui pemberita dalam operasi berkenaan, lewat malam tadi.
Ayob Khan berkata, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959. – MalaysiaGazette