Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA- Kluster Jeram di Kubang Pasu, Kedah disahkan tamat pada hari ini, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, kluster itu menyaksikan seramai 351 individu telah disaring di mana lima kes dikesan positif Covid-19 manakala 346 individu lagi adalah negatif.

“Tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Noor Hisham bagaimanapun memberitahu terdapat satu kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Matambai.

Jelas beliau, kluster baharu itu melibatkan Kota Kinabalu dan Penampang di Sabah.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-22, 962 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Matambai, Penampang.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif. Kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Penjara Wanita Kepayan serta Hospital Queen Elizabeth.

“Sehingga hari ini, sejumlah 333 individu telah disaring di mana 24 kes dikesan positif Covid-19 iaitu 15 kes baharu, 306 individu dikesan negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast