SERDANG – Polis melumpuhkan geng curi ekzos kenderaan selepas berjaya menahan tiga suspek di dua lokasi berasingan baru-baru ini.
Tangkapan terhadap individu yang masing-masing berusia 36 hingga 50an itu dibuat selepas dua daripada mereka “terkantoi” apabila seorang pengawal keselamatan yang melihat aktiviti mereka di sebuah apartmen di Puchong.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pengawal keselamatan itu telah terpandang kelibat kedua-dua suspek yang ketika itu cuba membuka komponen pada sebuah kenderaan di parkir bawah tanah di apartmen berkenaan.
Curiga dengan tindakan kedua-dua individu terbabit, pengawal keselamatan berkenaan telah merakam video perilaku mereka dengan tujuan untuk dijadikan bukti ekoran telah berlaku beberapa kes curi sebelum ini di kawasan terbabit, katanya.
“Berdasarkan aduan kita telah tangkap dua lelaki Cina berumur 36 dan 43 tahun di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan merampas alatan ekzos curi.
“Semakan mendapati seorang suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau manakala, seorang lagi memiliki satu rekod jenayah. Kedua-dua suspek turut di dapati positif dadah jenis methapetamine,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Razali berkata, menerusi tangkapan terhadap kedua-dua suspek pihaknya berjaya menahan seorang lagi suspek di Petaling Jaya dan merampas sebanyak 18 tabung ekzos bernilai lebih kurang RM20,000.
Ujarnya, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati, suspek menyasarkan kenderaan yang ditinggalkan di kawasan-kawasan sunyi seperti tempat letak kenderaan bawah tanah.
Suspek kemudiannya akan menjual ekzos-ekzos yang dicuri dengan harga antara RM300 hingga RM600 dan kenderaan yang menjadi sasaran mereka adalah keluaran tahun 2010 ke bawah.
Razali berkata, suspek akan menjual ekzos berkenaan kepada sebuah syarikat yang dipercayai pembekal barang kemas dengan harga RM1,500 setiap satu.
“Siasatan mendapati di dalam tabung ekzos itu mempunyai tiga bahan iaitu paladium, rodium, platinum yang akan dicampur dengan bahan kimia tertentu bagi menghasilkan emas putih.
“Siasatan lanjut juga mendapati, suspek utama aktif membeli ekzos curi dari sekitar Lembah Klang sejak tahun 2018,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 379A (2), Kanun Keseksaan kerana mencuri komponen kenderaan dan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA). – MalaysiaGazette