Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes jenayah dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 16, 719 kes berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, sebanyak 56,117 kes jenayah dicatatkan pada tahun ini berbanding 72,836 kes pada tahun lalu.

Selain itu, jenayah kes ragut juga mencatatkan penurunan.

Berikutan itu, Huzir menolak dakwaan bahawa jenayah dalam negara meningkat akibat akibat pandemik Covid-19.

“Bagi jenayah ragut, sebanyak 1,160 kes dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hngga 15 November 2020, berbanding tempoh yang sama tahun 2019 iaitu 2,216 kes. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,056 kes (47.65 peratus).

“Dalam pada itu, seramai 893 saspek telah berjaya ditangkap kerana terlibat dalam jenayah ragut sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 November 2020 berbanding 527 suspek dalam tempoh sama tahun 2020

“Berpandukan statistik tersebut, dakwaan bahawa kes jenayah di Malaysia menunjukkan peningkatan disebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 adalah sama sekali tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan sebuah video di laman sosial yang turut dimuatnaik di Youtube bertajuk “Jangan Jadi Mangsa!! Tontonlah video ini!! Jangan leka & lalai”.

Video yang berdurasi 13:04 saat itu memaparkan kompilasi jenayah ragut.

Huzir turut menasihatkan orang ramai agar agar tidak berkongsi atau menularkan berita yang memberi gambaran tidak tepat berkenaan trend jenayah.

Tanpa disokong dengan fakta sahih daripada pihak berkuasa, tindakan ini akan memberikan persepsi negatif kepada pihak polis, ujarnya.

Walaupun terdapat penurunan kes, Huzir berkata, polis tidak akan berkompromi dengan ketenteraman awam khususnya tindakan jenayah. – MalaysiaGazette