Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Pemergian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dua hari lalu adalah satu kehilangan besar buat Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu turut kehilangan seorang pemimpin yang baik dan sering mengetengahkan masalah rakyat di Parlimen.

“Allahyarham adalah tokoh yang baik dan cukup baik khidmatnya kepada kawasan di Gerik.

“Dia juga seorang yang banyak berbicara dan memberi pandangan di Dewan Rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ahmad dalam pada itu berkata, Hasbullah sempat menghadiri dua mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara sejak 12 November lalu.

Allahyarham menggantikan Ahmad yang menarik diri sebagai anggota jawatankuasa PAC atas komitmennya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

“Dia mengambil tempat saya sebagai Jawatankuasa PAC kerana saya sibuk dengan jawatan dalam parti, maka saya mencadangkan beliau untuk mengganti.

“Beliau sudah beberapa kali hadir mesyuarat dan saya kehilangan seorang kawan yang begitu baik dan tidak kontroversi. Yang jovial dan ceria.

“Allah lebih sayangkan dia. Dan kita mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan Allah balas syurga buat dirinya,” katanya lagi.

Hasbullah meninggal dunia di Hospital Raub akibat serangan jantung ketika berada dalam kereta yang ketika itu dalam perjalanan ke kampung isterinya di Raub, kira-kira jam 6.30 petang Isnin lalu.

Jenazah selamat dikebumikan Selasa lalu.

Allahyarham yang dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 11 Mei lalu, pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2009.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggalkan dua isteri dan lapan anak yang berusia antara tiga bulan hingga 34 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast