Kerja-kerja merobohkan paparan iklan giat dijalankan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Kementerian Kerja Raya Malaysia dalam satu operasi tindakan Penguatkuasaan struktur paparan iklan di bawah rizab jalan Persekutuan ketika di Lebuhraya Persekutuan, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 18 NOVEMBER 2020.

SUBANG JAYA – Kerugian hampir RM1juta setiap tahun terpaksa ditanggung oleh kerajaan akibat daripada pembinaan dan pemasangan 20 struktur paparan iklan haram tanpa kelulusan caj pendudukan di Kilometer (KM) 17.3 hingga 17.7 Lebuhraya Persekutuan.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan KKR, Datuk Badrul Hisham Mohd, kewujudan paparan iklan haram itu dianggarkan telahpun dibina sejak lebih dua tahun lalu dan ia dibina di atas rizab Jalan Persekutuan.

“Sebenarnya caj pemprosesan yang dikenakan adalah sangat minimum, bagi struktur besar tidak lebih RM1,000 kita kenakan, bagi struktur kecil kita caj di bawah RM500 dan mereka perlu membayar caj tahunan dengan kadar minimum.

“Caj ini nanti akan dimasukkan ke dalam akaun amanah, sebahagiannya untuk Kerajaan Persekutuan dan sebahagiannya lagi untuk menguruskan jalan.

“KKR hanya mengenakan caj sewaan tahunan sehingga RM50,000 bagi kos penyelenggaraan, namun kos pembinaan strukutur ini ditanggung syarikat pengiklan,” katanya pada sidang media di Lebuhraya Persekutuan dekat sini, hari ini.

Terdahulu KKR dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjalankan Operasi Tindakan Penguatkuasaan Struktur Paparan Iklan di bawah rizab Jalan Persekutuan di KM17.3 hingga 17.7 Lebuhraya Persekutuan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Noraini Roslan bercakap kepada media selepas hadir melawat satu operasi tindakan Penguatkuasaan struktur paparan iklan di bawah rizab jalan Persekutuan ketika di Lebuhraya Persekutuan, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 18 NOVEMBER 2020.

Hadir sama Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan.

Tindakan ini selaras dengan kuasa Menteri di bawah Seksyen 84A, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan garis panduan Tatacara Permohonan Paparan Iklan di dalam Rizab Jalan Persekutuan/ Lebuh Raya 2011.

Dalam perkembangan sama, tindakan penguatkuasaan dengan meroboh struktur haram perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan lebih 200,000 pengguna laluan di FT02, Lebuhraya Persekutuan, setiap hari.

“Selain membahayakan pengguna jalan raya, kewujudan struktur papan tanda haram ini juga memberi impresi negatif kepada KKR dan kerajaan.

“Kalau dibina tanpa kelulusan yang sah akan menimbulkan risiko dan memberi ancaman keselamatan kepada pengguna jalan raya selain mencacatkan pemandangan dan menjejaskan perancangan PBT,” jelasnya.

Menurutnya, KKR dan MBSJ telah pun memberikan notis yang secukupnya kepada pemilik-pemilih paparan iklan haram ini sehinga 14 hari, namun pihaknya tidak mendapat sebarang respon yang sepatutnya.

“Kita tambah lagi 16 hari untuk memberi lebih masa mencukup sebulan, namun tiada pemilik iklan yang datang ke hadapan untuk menurunkan atau berhubung dengan kami.

“Sebab itu hari ini kita terpaksa gerakkan pasukan untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama dihadapi oleh pihak MBSJ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast