KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah komprehensif bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja asing di sektor pembinaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia termasuk meneliti segera keperluan bagi pekerja asing yang berada di kawasan merah.
“Ini termasuklah menambahbaik pelan tindakan melibatkan aspek penginapan dan kediaman pekerja warga asing serta kawalan pergerakan ke atas pekerja-pekerja asing,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Ledang-PH), Syed Ibrahim Syed Noh yang meminta kerajaan menyatakan perancangan langkah segera dan efektif kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan ‘kongsi’ binaan yang kian membimbangkan.
Menurut Mohd Redzuan berkata, penelitian lanjut juga sedang dibuat berkaitan mekanisme dan prosedur pergerakan bagi pekerja asing untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
Dalam hubungan itu ujar beliau, aspek pemantauan dan penguatkuasaaan ke atas pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dipertingkatkan bagi memastikan kes penularan wabak berkenaan dapat dikawal.
Bagi tujuan itu katanya, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 [Akta 446] akan dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette