KUALA LUMPUR – Kadar kelahiran di Malaysia jatuh ke paras terendah dalam tempoh sedekad kepada 487,957 pada 2019.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, angka tersebut susut 2.8 peratus berbanding 501,945 pada 2018.
“Penurunan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar menurun daripada 15.5 kelahiran pada 2018 kepada 15.0 bagi setiap seribu penduduk pada 2019.
“Selain itu, daripada jumlah kelahiran hidup pada 2019, 7,862 bayi yang dilahirkan adalah kembar dua dan 144 bayi adalah kembar tiga,” katanya dalam satu kenyataan berhubung laporan Perangkaan Penting Malaysia 2020 hari ini.
Laporan itu adalah mengenai statistik kelahiran dan kematian mengikut ciri-ciri demografi Malaysia, negeri dan daerah pentadbiran bagi 2019.
Menurut Uzir, statistik tersebut merupakan input utama untuk penggubalan dasar dan perancangan program bagi bidang kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.
Selari dengan penurunan kadar kelahiran, purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama juga meningkat 0.1 tahun daripada 27.8 tahun (2018) kepada 27.9 tahun pada 2019.
Secara amnya, peningkatan purata umur ibu pada kelahiran pertama memberi indikasi terhadap tempoh reproduktif wanita yang semakin singkat.
Kadar kesuburan jumlah di Malaysia kekal pada 1.8 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun bagi tempoh yang sama.
Kadar kesuburan ini berada di bawah paras penggantian 2.1 anak, iaitu purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh kesuburannya adalah tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan juga pasangannya.
Trend penurunan ini adalah selari dengan negara maju yang lain seperti Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.7 anak), USA (1.7 anak), Singapore (1.1 anak) dan Korea Selatan (1.0 anak).- MalaysiaGazette
Kos kahwin mahal, penceraian banyak.