Brad Raffensperger. foto AP

WASHINGTON – Joe Biden diumum berjaya menewaskan Donald Trump di negeri Georgia selepas pengiraan undi semula secara manual di negeri itu selesai.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger.

Kiraan undi secara manual dijalankan semula selepas undi tidak rasmi menunjukkan Biden mendahului Donald Trump dengan majoriti 14,000 undi.

“Audit mengesahkan jumlah kiraan manual menggambarkan pemenang pilihan raya dengan tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Raffensperger dijangka secara rasmi mengesahkan kemenangan Biden pada hari Jumaat.

Trump telah membuat dakwaan tanpa bukti terdapat banyak penyelewengan dan penipuan dalam proses kiraan undi di negeri-negeri yang beliau tewas termasuk Georgia.

Trump dibenarkan memohon untuk kira semula undi kerana margin kemenangan kurang daripada 0.5%. – MalaysiaGazette