KUALA LUMPUR – New Zealand telah menyertai para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam tuntutan menentang dasar perlindungan, mendesak APEC untuk terus komited mengekalkan pasaran terbuka dan aliran perdagangan.
Perdana Menter,i Jacinda Ardern berkata, perdagangan telah menjadi jentera pertumbuhan dan kemakmuran di rantau ini sejak APEC ditubuhkan 30 tahun lalu.
“Ketika kita menghadapi cabaran ekonomi terbesar generasi ini, kita tidak boleh mengulangi kesilapan sejarah dengan berbalik kepada dasar perlindungan.
“APEC harus terus komited mengekalkan pasaran terbuka dan membenarkan perdagangan terus mengalir. Kita melakukan perkara praktikal untuk menunjukkan kesungguhan itu, ”katanya pada hari kedua Dialog CEO APEC 2020 maya di sini hari ini, bersempena dengan pertemuan puncak maya forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik.
Memetik Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menyaksikan 15 negara berkumpul dan memeterai perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, beliau berkata, APEC mesti terus memastikan persaingan yang adil dan peraturan yang dapat diramalkan untuk semua pengeksport, baik di rantau ini mahupun antarabangsa.
Ardern turut menambah ekonomi harus menerapkan teknologi digital dan inovasi untuk berjaya pada abad ke-21.
Sementara itu, sebagai penutup sesi, beliau memaklumkan bahawa New Zealand akan menjadi tuan rumah APEC tahun hadapan.
Sebagai pengerusi untuk tahun 2021, Ardern berkata, negara itu berharap agar ekonomi APEC dapat bekerjasama untuk menghidupkan kembali pertumbuhan dan merancang pemulihan ekonomi yang berpanjangan.
Beliau turut berharap agar negara-negara dapat bekerjasama, menunjukkan kepimpinan dan inovasi dan berusaha untuk kebaikan bersama serta memupuk kemakmuran dan kesejahteraan yang berkesinambungan, inklusif dan berkemampuan digital.
“Ini adalah tempoh yang mencabar, tetapi masa sebeginilah akan turut menawarkan peluang yang signifikan untuk melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza, termasuk APEC,” tambahnya. – Bernama