KUALA LUMPUR – Kontraktor bagi projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd memperoleh injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menghalang kerajaan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada mengarahkan syarikat itu menghentikan kerja-kerja di tapak pembinaan.

Syarikat itu turut memperoleh injunksi sementara bagi menghalang kerajaan dan KTMB daripada memasuki tapak projek KVDT2 serta mengarahkan ia agar mengosongkan tapak sehingga 12 Dis atas sebarang tarikh sebagaimana diarahkan oleh mahkamah.

Dalam penghakimannya pada 2 Nov lepas, Hakim Datuk Lim Chong Fong juga membenarkan injunksi sementara agar KTMB dihalang daripada membatalkan Pemakluman Milik Tapak Dhaya Maju LTAT sehingga 12 Dis dan bahawa KTMB dihalang daripada memasuki tapak projek itu bagi tujuan selain melaksanakan sebarang kerja di atau berhampiran tapak itu di bawah kontrak yang telah disemak semula sehingga tarikh sama.

Mahkamah turut memberikan injunksi sementara agar Dhaya Maju LTAT, kerajaan dan KTMB melaksanakan pengukuran dan penilaian bersama kerja-kerja bagi projek KVDT2.

Menerusi saman yang difailkan pada 27 Okt lepas, Dhaya Majut LTAT menamakan kerajaan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, syarikat perkhidmatan perundingan kejuruteraan Opus Consultants (M) Sdn Bhd dan KTMB sebagai defendan.

Penyataan tuntutan plaintif mendakwa kerajaan pada asalnya menandatangani Surat Niat bertarikh 12 Mac 2013 bagi penganugerahan projek KVDT, bagaimanapun defendan pertama kemudian memutuskan untuk memisahkan projek itu kepada dua fasa iaitu KVDT1 dan KVDT2.

Menurut plaintif, ia kemudian dianugerahkan Surat Award dan Kontrak bagi projek KVDT1 dan sehingga kini, ia sudah menyiapkan lebih 87 peratus kerja-kerja bagi projek itu.

Ia berkata selepas itu, kerajaan mengeluarkan Surat Niat bertarikh 5 Mei 2017 dan 12 Mac 2018 untuk Projek KVDT2 kepadanya dan melalui Surat Setuju Terima bertarikh 4 April 2018, Kementerian Pengangkutan menerima tender syarikat serta memberikan Projek KVDT2 dengan jumlah RM5.6 bilion bagi tempoh kontrak tujuh tahun sehingga 3 April 2025.

Menurut plaintif, jumlah Kontrak Asal ditentukan secara bebas melalui Makmal Kejuruteraan Nilai dan Makmal Pengurusan Nilai yang disertai pelbagai agensi kerajaan termasuk wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Kerja Raya, Unit Perancang Ekonomi, KTMB dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Katanya, ia dengan segera memulakan kerja KVDT2 selepas Kontrak Asal terbabit dikeluarkan.

Plaintif selanjutnya berkata pada 19 Okt 2018, iaitu kurang daripada enam bulan kemudian dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Kontrak Asal satu pihak itu ditamatkan oleh kerajaan dengan Notis Pembatalan dikeluarkan oleh Setiausaha Kementerian Pengangkutan kononnya atas alasan kepentingan awam dan keselamatan nasional.

Plaintif mendakwa ia mencabar penamatan Kontrak Asal kerana penamatan itu jelas bukan demi kepentingan orang awam atau negara.

Menurut plaintif, selepas penamatan kontrak asal, pelbagai pertemuan dan perbincangan diadakan yang membawa kepada perjanjian penyelesaian pada 19 Ogos 2019, dan selaras dengan syarat perjanjian itu, syarikat tersebut dianugerahkan semula projek itu dengan jumlah kontrak yang disemak semula sebanyak RM4.475 bilion.

Plaintif seterusnya berkata pada 28 Ogos lepas, Wee melalui kenyataan media mengumumkan bahawa kerajaan akan membatalkan Projek KVDT2 yang dianugerahkan semula kepadanya serta akan membuka semula proses bidaan melalui tender terbuka.

Sehingga kini, katanya notis rasmi penamatan Kontrak yang Disemak semula belum disampaikan kepadanya dan ia sama sekali tidak mengetahui mengenai pembatalan projek itu yang dilakukan menerusi siaran akhbar serta hanya mengetahuinya buat pertama kali menerusi media.

Plaintif mendakwa ia juga telah menulis surat bertarikh 1 Sept lepas kepada kerajaan untuk membantah pembatalan projek dan meminta Menteri Pengangkutan menimbangkan semula perkara berkenaan.

Selain ganti rugi, Dhaya Maju LTAT iaitu syarikat usaha sama antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diperbadankan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016, memohon deklarasi bahawa penamatan Kontrak yang Disemak Semula adalah satu pelanggaran Perjanjian Penyelesaian, tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Pertikaian timbul selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dianugerahkan secara rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan ini termasuk projek KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang dianugerahkan kepada Dhaya Maju LTAT.- BERNAMA