APABILA sebut tentang politik kepada anak muda,pasti mereka akan berasa bosan dan tidak menunjukkan minat untuk mendengar. Persoalannya kenapa? Sedangkan politik di negara kita ini penuh dengan keajaiban dan kelucuan.
Sebahagian daripada anak muda yang berminat dengan politik dan sebahagiannya lagi merasakan berbicara soal politik ini hanyalah untuk golongan tua atau yang sudah berumur.
Bagi anak muda,politik ini penuh dengan kekotoran seperti penipuan,pengkhianatan,omong kosong,perebutan kuasa dan hanya sekadar mementingkan jawatan tanpa memikirkan soal kehidupan rakyat.
Konotasi negatif ini sering diberikan oleh mereka apabila dibicarakan soal politik. Adakah benar tanggapan yang diberikan tersebut? Sekiranya benar,perubahan perlu dilaksanakan segera demi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mengetahui tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran di negara mereka sendiri.
Salah satu cara untuk menarik minat mereka terhadap politik adalah memberi penekanan kepada mereka tentang ilmu politik. Pendedahan awal tentang politik perlu diketengahkan sejak di peringkat sekolah lagi. Ilmu politik yang dimaksudkan ini bukanlah sekadar menghafal nama-nama parti yanh wujud di Malaysia serta menghafal nama-nama tokoh dan organisasi parti sahaja. Tetapi,memperkenalkan kepada mereka tentang sistem pemerintahan negara dengan memberi penerangan tentang erti sebuah demokrasi,maksud demokrasi berparlimen,sistem raja beperlembagaan dan perbezaan diantara dewan rakyat,dewan negara dan dewan undangan negeri.
Namun,kita perlu pastikan bahawa pendedahan ilmu politik di peringkat sekolah ini mestilah tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dan ianya mestilah bersifat neutral tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik.
Selain itu,pendedahan awal tentang politik juga perlu dilaksanakan oleh ibubapa kepada anak-anak mereka dirumah. Pendedahan awal yang bersifat positif tanpa melibatkan isu-isu sensitiviti mampu menarik minat anak-anak mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang soal politik dan pemerintahan negara.
Ibubapa seharusnya memberi penerangan kepada anak-anak mereka tentang kepentingan keterlibatan anak muda dalam berpolitik supaya anak muda dapat melontarkan pendapat mereka serta terlibat dalam membuat sesuatu polisi dan menghapuskan dominasi golongan berumur dalam arena politik.
Terdapat juga anak muda yang minat dalam berpolitik,tetapi minat mereka terhalang akibat daripada desakan ibubapa yang risau akan keterlibatan anak-anak mereka akan dipengaruhi dengan perkara-perkara yang tidak bermoral. Misalnya, keterlibatan dalan isu rasuah,penipuan,fitnah dan sebagainya.
Justeru itu,masyarakat khususnya rakan-rakan yang terlibat dalam sayap pemuda parti politik perlu mendekatkan diri bersama anak-anak muda dengan menunjukkan nilai kepimpinan yang tinggi dalam memperjuangkan nasib anak muda seperti memperjuangkan isu pekerjaan dan pengangguran,kenaikan gaji minimum,membantu pelajar dan mahasiswa yang mengalami kesukaran serta memperjuangkan kenaikan elaun bagi mahasiswa yang sedang menjalani latihan industri.
Melalui pendekatan ini,sedikit sebanyak dapat membantu menarik minat golongan muda tentang politik dengan menyertai sayap pemuda sesebuah parti yang bertujuan untuk memperjuangkan nasib anak muda.
Kesimpulannya,pendedahan awal tentang politik kepada anak muda perlu diutamakan agar dapat melahirkan pemimpin yang mempunyai nilai kepimpinan dan beridealisme seperti YB Akmal Nasir,YB Syed Saddiq,saudara Shahril Hamdan dan YB Nurul Izzah.
Muhammad Azha Salahudin
AMK Cabang Setiawangsa