FRANKFURT – Moderna akan mengenakan bayaran antara AS$25 dan AS$37 setiap dos vaksin Covid-19 namun bergantung kepada jumlah yang ditempah.
“Vaksin kami harganya hampir sama dengan suntikan selesema antara AS$10 dan AS$50,” kata , kata Ketua Eksekutifnya, Stephane Bancel.
Isnin lalu, seorang pegawai Kesatuan Eropah (EU) yang terlibat dalam rundingan itu mengatakan Suruhanjaya Eropah mencapai kesepakatan dengan Moderna untuk pembekalan berjuta-juta dos vaksin dengan harga di bawah AS$25 setiap dos.
“Belum ada yang ditandatangani, tetapi kami hampir mencapai kesepakatan dengan Suruhanjaya EU. Kami mahu menghantar ke Eropah dan sedang mengadakan perbincangan,” kata Bancel kepada WamS, sambil menambah hanya ‘menunggu hari’.
Moderna memaklumkan vaksinnya sudah diuji 94.5 peratus berkesan untuk mencegah Covid-19, berdasarkan data sementara daripada percubaan klinikal peringkat akhir.
Ia menjadi vaksin kedua yang didakwa hampir berkesan selepas Pfizer dan rakan kerjasamanya, BioNTech membuat kenyataan serupa.
EU telah mengadakan perbincangan dengan Moderna untuk mendapatkan vaksin Covid-19 sejak bulan Julai lalu. – MalaysiaGazette