Sebahagian pendatang asing tanpa izin dikumpul sebelum menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hentian Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2020

KAJANG – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang sejak 28 Oktober lalu menyaksikan seramai 141 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Mohamad Fauzi Md Isa berkata, jumlah itu adalah daripada hasil pemeriksaan ke atas 2,600 orang termasuk 1,900 warga asing.

“Daripada jumlah itu kita telah menahan 141 orang yang diklasifikasikan sebagai pendatang tanpa izin. Secara amnya mereka ditahan kerana melanggar dua kesalahan iaitu tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan”, katanya selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di PKPD Plaza Hentian Kajang hari ini.

Menurut Mohamad Fauzi, daripada kesemua PATI ditahan, seramai 65 adalah warganegara Indonesia, 59 warganegara Myanmar, sembilan warganegara Nepal, dan lapan orang lain-lain warganegara.

Antara yang ditahan adalah warganegara asing berusia daripada satu sehingga 50 tahun.

“Daripada yang ditahan adalah 77 lelaki dan 58 wanita dan enam orang kanak-kanak. Kesemua mereka akan ditempatkan di Depoh Tahanan Semenyih,” katanya lagi.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Mohamad Fauzi Md Isa bercakap pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2020

Turut sama dalam operasi ini adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terdiri daripada 333 anggota.

Dalam pada itu, sepanjang tahun ini sehingga semalam, sebanyak 6,347 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di seluruh negara oleh pihaknya.

Daripada jumlah itu, 376 majikan telah didakwa kerana menggaji PATI.

“Hasil daripada operasi itu, seramai 34,649 pendatang tanpa izin telah ditahan pihak Imigresen,” katanya lagi.

PKPD Plaza Hentian Kajang akan berakhir hari ini dan kawat dawai berduri akan dibuka jam 12 tengah malam ini.

Kerajaan menerusi Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan PKPD ini ditamatkan selepas 28 hari dilaksanakan.

Bagaimanapun, semua penduduk di lokaliti itu masih tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh Selangor. – MalaysiaGazette