Ras Adiba Radzi

KUALA LUMPUR – Senator Ras Adiba Radzi, 52, dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu, dan merupakan wanita pertama yang memegang jawatan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang mengumumkan perkara itu di sini hari ini, berkata beliau akan berkhidmat selama  tiga tahun berkuat kuasa 23 Nov (semalam).

Saifuddin berkata pelantikan bekas personaliti penyiaran berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri itu juga yakin Ras Adiba akan menerajui agensi tersebut ke tahap yang lebih baik di samping meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian berita.

“Sebagai ‘orang lama’ dalam dunia penyiaran, saya yakin beliau punyai cukup pengalaman untuk bantu kita (Bernama) dalam penyampaian berita dan hal ehwal semasa,” katanya.

Ras Adiba yang dilantik sebagai Senator pada Mei tahun ini, menggantikan Suhaimi Sulaiman yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bernama pada 6 Ogos lepas.

Wanita kelahiran Petaling Jaya itu merupakan atlet para negara selain mengetuai OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak orang kurang upaya (OKU).

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast