Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Cukai durian runtuh boleh digunakan kerajaan untuk membiayai pelbagai inisiatif kebajikan seperti menambah peruntukan Bantuan Sara Hidup (BSH) serta mengurangkan keperluan rakyat untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rakyat.

Parti MUDA dalam kenyataanya berkata, pelaksanaan cukai durian runtuh ketika pandemik ini diakui sebagai satu langkah berani tetapi ia bukanlah perkara baharu.

Ini kerana, kerajaan pernah mengenakan cukai tersebut kepada sektor peladangan semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997.

Tambahnya, sumbangan syarikat sarung tangan seperti Kossan, Top Glove, Hartelaga dan Supermax kepada kerajaan sebanyak RM400 juta adalah tidak mencukupi berbanding perolehan dan keuntungan yang diperolehi syarikat-syarikat berkenaan sekarang.

“Dalam keadaan luar biasa ini, rakyat sudah tidak tahu hendak ke mana lagi untuk mengadu dan hanya mengharapkan kerajaan dan wakil rakyat.

“Maka inilah sebabnya kerajaan perlu membuat keputusan sukar tetapi penting ini bagi mengutamakan kebajikan dan survival rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu, keuntungan syarikat-syarikat sarung tangan melonjak didorong peningkatan permintaan akibat Covid-19.- MalaysiaGazette