Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Rata-rata wakil rakyat hari ini melahirkan rasa sedih dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluaraga Allayarham serta warga PGA dengan insiden ini.

Selain Azhar, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, juga melahirkan simpati sebaik sahaja memulakan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Dalam Negeri.

Beberapa Ahli Parlimen juga menzahirkan ucapan takziah ketika melakukan celahan pada sesi penggulungan seperti RSN Rayer (DAP-Jelutong) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran).

Dalam insiden awal pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Koperal Norihan a/l Tari, 39, cedera parah apabila berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan.

Mendiang Baharuddin, daripada suku kaum Semelai meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Norihan menjalani rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

Seramai 18 lelaki termasuk warga Thailand yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand semalam, direman bermula hari ini.

Tiga warga Thailand direman selama tujuh hari sehingga 1 Dis manakala 15 warga tempatan pula direman selama empat hari sehingga 28 Nov. -MalaysiaGazette