Abdul Hamid Bador berkata sesuatu kepada Ramli Derus, bapa Koperal Baharuddin Ramli, sambil diperhatikan oleh balu mendiang, Relow Ko selepas upacara pengebumian di tanah perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Negeri Sembilan .foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2020

JEMPOL – Polis mengesahkan dua lagi penyeludup yang dipercayai terbabit dalam serangan terhadap Pasukan Gerakan Am (PGA) sehingga mengorbankan seorang anggota di sempadan Malaysia-Thailand sudah ditahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dua suspek warga Thailand itu berjaya ditahan pasukan VAT69 tidak jauh dari kawasan tembakan di Padang Besar sebelah Malaysia, kira-kira 7 pagi tadi.

“Pada pagi ini tindakan lanjutan yang telah diambil di tempat kejadian menghasilkan lagi dua tangkapan warga Thailand yang kami yakin tidak sempat melarikan diri.

“Pasukan VAT69 terserempak dengan dua orang ini yang sedang menyorok, oleh kerana tiada ruang dan peluang untuk mereka rentas melepasi tembok sempadan kerana swipping dijalankan di ladang dan kawasan belukar tersebut.

“Jadi kita telah bawa mereka untuk soal siasat selanjutnya, dua yang ditahan ini tidak jauh dari di kawasan (insiden tembakan), dalam kiraan satu batu atau 1 kilometer radius,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri istiadat pengebumian secara terhormat, mendiang Koperal Baharuddin Ramli di Tanah Perkuburan Orang Asli Sungai Sampo, Air Hitam, di sini, tengah hari tadi.

Semalam, seorang anggota PGA terkorban manakala rakan sepasukannya cedera parah selepas terkena tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi itu, mangsa Koperal Baharuddin sedang melakukan penugasan kawalan keselamatan Op Benteng bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari yang mengalami kecederaan parah.

Abdul Hamid Bador bercakap kepada media selepas menghadiri pada upacara pengebumian mendiang  Koperal Baharuddin Ramli tanah perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Negeri Sembilan .foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2020

Semalam, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengesahkan enam penyeludup dipercayai terlibat dalam insiden tembak-menembak hingga menyebabkan seorang anggota PGA terkorban berjaya ditangkap.

Menurut Surina, dua suspek warga Thailand berjaya ditahan pasukan VAT69 di kawasan sempadan di Padang Besar sebelah Malaysia, manakala empat lagi berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di sebelah sempadan negara jiran itu.

Abdul Hamid turut mengulangi gesaannya agar Polis Diraja Thailand menangkap saki baki penyeludup yang terlibat dalam insiden tembak-menembak itu dan menyerahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.

“Saya sedang berunding dan akan memutuskan permohonan secara rasmi kepada Polis Diraja Thailand supaya ketiga-tiga suspek yang berjaya ditangkap oleh pihak Thailand itu dapat diserahkan kepada kita untuk diadili.

“Jabatan Siasatan Jenayah dengan pasukan forensiknya terus gigih untuk mengesan senjata api, mungkin telah dicampak di situ dalam belukar tersebut. Kita telah melakukan swipping di situ untuk mencarinya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette