Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada isteri mendiang, Relow Ko pada upacara pengebumian mendiang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Negeri Sembilan .foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2020.

JEMPOL – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keluarga dan balu kepada mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban dalam insiden Selasa lalu akan mendapat pembelaan sewajarnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, apabila pangkat mendiang dinaikkan daripada koperal kepada sarjan, kadar bayaran elaun juga akan dinaikkan selaras dengan tangga gaji semasa.

“Saya telah memberikan jaminan kepada balunya tadi bahawa PDRM akan menjaga kebajikan keluarga mendiang. Kami bersetuju mendiang dinaikkan pangkat, dari sudut elaun dan sebagainya akan ada tambahan daripada elaun koperal kepada sarjan, jadi faedah itu akan dinikmati oleh balu dan keluarganya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Abdul Hamid menghadiri istiadat pengebumian secara terhormat, Koperal Baharuddin di Tanah Perkuburan Orang Asli Sungai Sampo, Air Hitam hari ini.

Semalam, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terkorban manakala rakan sepasukannya cedera parah selepas terkena tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin sedang melakukan penugasan kawalan keselamatan Op Benteng bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan yang mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, Abdul Hamid turut melahirkan rasa terharu apabila istiadat pengebumian terhormat di sini dihadiri oleh para pegawai tertinggi PDRM untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendian.

“Saya amat bertuah pada pagi ini penyertaan kehadiran penduduk kampung ini dan juga pegawai-pegawai tertinggi PDRM, anak-anak buah saya begitu ramai sekali memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang ini tadi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette