Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat dijangka dilanjutkan sejam sehingga jam 3 petang hari ini.

Cadangan itu diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang bangkit membentang usul mengikut peraturan 12(1).

Takiyuddin Hassan

Usul tersebut kemudian disokong oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Ini bermakna, persidangan hari ini akan memberikan masa supaya lebih ramai menteri berpeluang menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021).

Setakat ini masih ada seramai 19 menteri yang belum berpeluang untuk menggulung perbahasan RUU menjelang sesi undian esok.

Penggulungan akhir akan dilakukan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ada yang menjangkakan sesi undian bagi RUU berkenaan berlanjutan sehingga malam esok.

Dewan Rakyat sebelum ini menetapkan sidang berjalan sehingga jam 2 petang sebagai langkah membendung penularan Covid-19 dan had wakil rakyat pula hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan berada dalam dewan. -MalaysiaGazette