Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir bercakap pada sidang media mengenai penyeludupan rokok di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Bahagian Penguatkuasaan Dengkil, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 25 NOVEMBER 2020.

DENGKIL – Tindakan licik satu sindiket menyeludup rokok haram dengan memindahkan dari kontena ke lori di tempat tersembunyi bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, bagaimanapun terbongkar.

Empat buah kenderaan lori dengan muatan rokok haram itu berjaya ditahan pada 18 November lalu oleh Unit Siasatan Dalaman dan Unit Siasatan Frod Perdagangan serta Cawangan Integriti Ibu Pejabat Kastam di Jinjang, Batu Caves dan Kepong hasil pemantauan dan risikan selama dua hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hasil pemeriksaan ke atas keempat-empat lori itu berjaya menjumpai rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan import atau barang belum lulus kastam.

“Jumlah rampasan adalah 11.3 juta batang rokok dengan anggaran bernilai RM2.3 juta manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM7.7 juta.

“Siasatan mendapati modus operandi sindiket itu adalah memindahkan rokok larangan itu daripada kontena ke dalam lori di sebuah kawasan tersembunyi yang ditetapkan sindiket sebelum mengedarkan ke kawasan lain menggunakan jalan darat.

“Siasatan lanjut ke atas kontena itu giat dijalankan dan dalang utama disyaki warga tempatan yang sedang dikesan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, rokok seludup yang disembunyikan dalam kontena itu berkemungkinan diisytiharkan sebagai kontena ‘terbang’ atau kontena kosong tanpa barang yang menyebabkan ia terbiar tanpa dituntut untuk tempoh tertentu.

“Tetapi di dalam kontena itu, mereka mungkin menyembunyikan barang lain bagi mengelak dan terlepas daripada imbasan sensitif kastam,” ujarnya lagi.

Abdul Latif berkata, tiga leaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 32 hingga 42 tahun berjaya ditahan kerana disyaki memiliki barang larangan import itu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan untuk kesalahan pertama boleh dikenakan denda minimum RM100,000 atau maksimum RM500,000 agtau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pelbagai jenis rokok yang dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini. foto SYAFIQ AMBAK, 25 NOVEMBER 2020.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh didenda minimum RM200,000 atau maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Kami meminta bantuan orang ramai untuk bersama Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti jenayah seumpana ini kerana boleh merugikan negara dari segi kehilangan hasil.

“Malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.

Sebarang maklumat berkaitan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam terdekat disamping identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Malah katanya sehingga Januari hingga November ini, Kastam berjaya merampas 785 juta batang rokok dan menjangkakan rampasan boleh mencecah hingga 1 bilion batang rokok menjelang akhir tahun ini.

“Waktu PKP sahaja pada Mac lalu kita berjaya menyelesaikan 16 kes sindiket rokok seludup dengan jumlah 21 juta batang rokok pelbagai jenama terlarang,” tegasnya.-MalaysiaGazette