KUALA LUMPUR- Honda Malaysia memanggil semula 2,784 unit kereta Honda Accord yang dikeluarkan pada tahun 1999 dan model CR-V pada tahun 2000.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, kedua-dua model yang dikeluarkan pada tahun berkenaan terpaksa dipanggil semula bagi menggantikan pengembung beg udara keluaran Takata di bahagian tempat duduk pemandu.
Tegasnya, model-model yang sedang berada di pasaran sekarang tidak terlibat dengan isu tersebut.
“Syarikat percaya tindakan memanggil semula produk tersebut adalah langkah perlindungan yang perlu bagi menangani kemungkinan pengembung beg udara Takata itu bermasalah apabila menerima tekanan tinggi dan seterusnya gagal berfungsi atau pecah,” katanya.
Tambah syarikat itu lagi, setakat ini, tiada laporan mengenai insiden atau kecedaraan melibatkan beg udara depan pemandu keluaran Takata bagi kedua-dua model Honda untuk tahun 1999 dan 2000 di Malaysia.
Pelanggan-pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat.
Ia menggesa para pelanggan yang terjejas untuk menghubungi pengedar Honda yang sah untuk membuat temu janji selepas menerima surat berhubung penggantian pengembung beg udara itu.
Penggantian adalah percuma, katanya lagi.- MalaysiaGazette