LONDON – Legenda Brazil, Pele meluahkan kata-kata emosi bahawa dia dan Diego Maradona akan “bermain bola sepak bersama di atas sana.”

Maradona yang meninggal dunia malam tadi akibat serangan jantung telah membantu Argentina mencipta kejayaan pada Piala Dunia 1986.

Legenda Argentina itu mendapat gelaran gol ‘Tangan Tuhan’ apabila dia menjaringkan gol menggunakan tangan kiri ketika menentang England pada suku akhir Piala Dunia 1986 dengan negaranya muncul juara dunia ketika itu.

Dia menghembus nafas pada usia 60 tahun, disayangi di peringkat kelab bersama Boca Juniors di negara kelahirannya, selain Napoli di Itali selepas menjulang dua gelaran Serie.

Dia bergelut dengan ketagihan, terutama kokain dan masalah berat badan, berbeza dengan imej Pele yang mencipta sejarah memiliki koleksi juara tiga Piala Dunia.

“Berita sedih hari ini. Saya kehilangan rakan baik, dan dunia kehilangan legenda.

“Banyak yang mahu diperkatakan, tapi buat masa ini semoga Tuhan memberikan keluarganya kekuatan. Satu hari nanti, saya harap akan dapat bermain bola sepak bersama di atas sana,” kata Pele di Instagram bersama gambar Maradona merangkul trofi Piala Dunia 1986.

“Ia hari yang sangat menyedihkan buat semua rakyat Argentina dan bola sepak,” kata Lionel Messi di media sosial bersama gambarnya dan Maradona. – MalaysiaGazette