Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin menyempurnakan gimik perasmian diiringi Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah (kanan) pada Program Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2020 di Ibu Pejabat AADK, Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 NOVEMBER 2020

BANGI – Penggunaan dan penagihan dadah dalam kalangan rakyat Malaysia menurun sehingga 46 peratus untuk tempoh tiga bulan pertama penularan wabak itu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, ia susulan penutupan pusat hiburan, pengurangan akses kepada pengedar dadah terhadap bekalan, hilang sumber pendapatan dan faktor ekonomi tidak menentu.

“Ia hasil daripada kajian oleh European Monitoring Centre for Drugs and Drug Addiction (EMCDDA) bertajuk Impact of COVID-19 on Patterns of Drug Use and Drug-Related Harms in Europe.

“Pengurangan penyalahgunaan dadah tersebut adalah yang dikaitkan dengan tujuan rekreasi seperti Ecstasy dan Kokain.

“Sebaik-baiknya kalau PKP diteruskan, mungkin kita dapat mengurangkan secara signifikan jumlah mereka yang terlibat (penagihan),” katanya ketika membacakan teks ucapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2020 di Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), di sini, hari ini.

Jonathan bagaimanapun berkata, meskipun PKP mempunyai impak positif kepada penurunan penagihan dadah di negara, namun kerajaan tidak bercadang meneruskan langkah itu bagi memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti.

“Tapi kita tahu bahawa kerajaan juga melaksanakan dasar di mana orang masih menjalankan aktiviti ekonomi dan harus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, pandemik Covid-19 memberi cabaran baharu kepada kerajaan untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah dan substan susulan modus operandi pengedaran dadah sudah berubah.

“Terdapat kaedah baharu dikenal pasti sebagai ganti kepada pertemuan secara fizikal seperti parti secara atas talian atau dikenali sebagai streaming parties.

“Penagih dadah akan mengambil dadah sambil berbual dengan rakan dalam talian, telah menjadi salah satu cara baharu untuk bersosial,” katanya.

Katanya lagi, terdapat penemuan lain iaitu peningkatan penggunaan ganja untuk mengurangkan perasaan bosan dan kebimbangan.

“Ini boleh dilihat daripada peningkatan carian di internet seperti perkataan ‘buy cannabis’, ‘seeds’, ‘growing cannabis’ dan ‘cannabis home delivery’,” katanya lagi. – MalaysiaGazette