Jonathan Yasin

BANGI – Kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam termasuk penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang didapati terlibat dalam penagihan dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin menegaskan, sekiranya wujud laporan mengenai perkara itu, penjawat awam terlibat perlu menjalani ujian saringan air kencing bagi membuktikan dakwaan itu.

“Ini adalah satu masalah serius jika kita dapati ada penguatkuasa terlibat dengan pengambilan najis dadah ini.

“Sekiranya terdapat laporan, ketua-ketua jabatan harus mengadakan ujian terhadap kakitangan terbabit sama ada mereka terbukti telah mengambil dadah dan sebagainya.

“Kerana kita tidak mahu berlaku juga fitnah terhadap mana-mana kakitangan kerajaan.

“Kita mahu bukti yang jelas bahawa mereka benar-benar terlibat, jika terbukti tindakan disiplin harus diambil terhadap mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2020 di Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam ucapannya kerajaan memandang serius masalah pengedaran dadah kerana ia memberi ancaman kepada pembangunan sosial dan keselamatan.

Jelasnya, salah satu cabaran yang dihadapi untuk mengekang penawaran dadah dalam pasaran ialah kedudukan Malaysia yang berdekatan dengan Kawasan Segi Tiga Emas seperti Thailand, Lao PDR dan Myanmar.

“Untuk menghadapi cabaran ini, usaha berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengekang kemasukan bekalan dadah terlarang ke dalam negara telah dipertingkatkan.

“Pada 2019, terdapat beberapa peningkatan rampasan dadah dan substan yang signifikan iaitu rampasan daun ketum sebanyak 84.1 peratus, ecstasy sebanyak 85.4 peratus, pil psikotropik, kokain, ketamin dan daun khat melebihi 100 peratus.

“Rampasan Kokain terbesar pernah direkodkan pada 2019 melibatkan 12 tan bernilai RM2.4 billion yang dipercayai untuk tujuan transit ke negara destinasi lain,” jelasnya.

Menurutnya lagi, peratus perbandingan bagi rampasan dadah pada Januari hingga Jun 2020 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 35.4 peratus melebihi jumlah rampasan keseluruhan bagi 2019 terutama bagi dadah jenis ganja, methamphetamine, ecstasy, erimine 5,daun dan air ketum.

“Peningkatan ini mengambarkan usaha berterusan dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan walaupun menghadapi cabaran Pandemik Covid-19.

“Isolasi sosial akibat kesan tidak langsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan meningkatkan tabiat penagihan dadah terutama kepada mereka yang sedang dalam proses kepulihan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette