Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan pertambahan bilangan kes harian positif Covid-19 selepas sebanyak 1,315 kes baharu lagi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan itu jumlah kumulatif positif wabak tersebut kini menjadi 63,176 dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan iaitu 11,508.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,310 kes adalah merupakan penularan dalam negara.

“Negeri Sabah pada hari ini masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 476 kes atau 36.2 peratus, yang mana 406 kes atau 85.3 peratus daripada kes-kes dikesan di negeri
Sabah adalah hasil saringan kluster-kluster dan kontak rapat
kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh negeri Selangor sebanyak 266 kes atau 20.2
peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak
191 kes atau 14.5 peratus,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan empat kes kematian dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat wabak tersebut di negara ini adalah sebanyak 354 kes atau 0.56 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, terdapat 118 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 43 kes
memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette