Maradona disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. foto Agensi

BUENOS AIRES – Polis Argentina telah membuka kertas siasatan ekoran kematian Diego Maradona pada Rabu lalu.

Polis memulakan siasatan itu untuk menentukan sama ada wujud kecuaian dalam aspek rawatan selepas lagenda bola sepak itu mengalami serangan jantung di kediamannya.

Polis mahu menyiasat sama ada berlaku kecuaian perubatan, dedah sumber kehakiman Argentina.

Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) jiran Maradona telah diambil polis dan sedang disiasat oleh tiga pendakwaraya yang mengendalikan kes tersebut.

Maradona meninggal dunia akibat kegagalan jantung berfungsi  ketika tidur di kediamannya di Tigre, mengikut laporan awal bedah siasat pakar perubatan hospital.

Peguam Maradona, Marias Morla memfailkan laporan polis untuk siasatan ke atas hospital apabila mendakwa pihak ambulans hanya sampai ke kediaman mendiang setengah jam kemudian.

Pejabat Pendakwaraya di Buenos Aires telah membuka fail siasatan bertajuk ‘Maradona dan punca kematian’.

Kes dimulakan setelah tiada mana-mana ahli keluarganya menandatangani sijil kematian Maradona.

Selepas menjalani pembedahan pembekuan darah dalam otak pada awal November ini, Maradona telah menerima rawatan 24 jam di kediamannya yang dikawal pengawal keselamatan.

Jururawat yang menjaga dan memberi rawatan kepada Maradona di kediamannya telah memberikan kenyataan apabila pendakwaraya tampil pada hari kematian Maradona.

Wanita itu didakwa telah dipaksa oleh pihak tertentu untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu, menurut ahli keluarga terdekat Maradona.

Ratusan ribu rakyat yang meratapi pemergian legenda bola sepak dunia itu akibat serangan jantung pada hari Rabu.Foto Ihsan Reuters

Pejabat Pendakwaraya menunggu keputusan laporan ujian toksikologi pada mayat Maradona.

Satu lagi Pusat Penjagaan yang merupakan pihak terakhir yang melihat dan menjaga Maradona sekitar 6.30 pagi sebelum bintang bola sepak dunia itu dilaporkan meninggal dunia.

Jururawat itu disoal siasat pendakwaraya pada Khamis lalu iaitu sehari selepas Maradona disahkan meninggal dunia.

Ketika disoal siasat, jururawat itu mengesahkan semasa kejadian Maradona telah berehat dan tidur serta pernafasannya normal.

Saudara Maradona, Johnny Herrera dipercayai individu terakhir yang bertemu Maradona pada Selasa sekitar 11.30 malam.

Menurut pendakwaraya, jururawat itu memaklumkan dia melihat Maradona berlegar di dalam bilik tidurnya sekitar 7.30 pagi.

Malah, dia mendakwa sekitar 12.17 tengahari pada hari yang sama, pembantu peribadi Maradona meminta bantuan perubatan dan ambulans dari syarikat +VIDA tiba sekitar jam 12.28 tengahari.

Penyiasat juga berjaya mendapatkan kenyataan doktor yang memeriksa dan merawat- Maradona. – MalaysiaGazette