Sebanyak 15 tapak pembinaan yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) diarahkan tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

PUTRAJAYA – Empat kluster baharu dikenalpasti di Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Kelantan.

Ia membabitkan Kluster Tapak Bina Sungai Mulia (Daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur), Kluster Batu Lima (Kota KInabalu, Sabah), Kluster Yayasan (Klang, Selangor) dan Kluster Hilir (Kelantan).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes awal dalam kluster tapak binaan ini telah dilaporkan positif Covid-19 pada hari ini menerusi hasil saringan tempat kerja di sebuah tapak pembinaan di daerah Titiwangsa.

“Sehingga hari ini, sejumlah 124 individu telah disaring yang mana 23 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, Kluster Batu Lima pula dikesan di daerah Kota Kinabalu, Sabah yang mana kes indeks iaitu kes ke-50994 dilaporkan positif Covid-19 pada 19 November lalu hasil saringan individu bergejala.

Tambah beliau, sehingga kini, seramai 118 individu telah disaring dan 49 kes dikesan positif Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Kluster Yayasan yang dikesan di Klang membabitkan kes ke-52340 yang dilaporkan positif Covid-19 pada 20 November lalu hasil saringan individu bergejala dan sehingga hari ini sejumlah 190 orang disaring dan 21 kes dikesan positif.

DR. Noor Hisham menjelaskan, Kluster Hilir yang dikesan di daerah Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh dengan kes indeks ke-58845 dilaporkan positif Covid-19 pada 24 November lalu hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 975 individu telah disaring manakala 21 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” ujar beliau sambil menambah sehingga hari ini terdapat sebanyak 359 kluster.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 176 kluster termasuk satu kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Megah.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 183 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes,” katanya. – MalaysiaGazette