Pendakwah muda diiringi pegawai polis selepas keluar dari mahkamah setelah mendapat perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita di sebuah rumah di Seksyen 7 pada September lalu ketika di Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 27 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis akan memohon supaya tempoh tahanan reman terhadap pendakwah selebriti yang akan berakhir esok disambung lagi berikutan enam lagi laporan yang baru diterima polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi mengesahkan maklumat itu dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok.

Katanya setakat ini polis Selangor menerima enam laporan polis daripada mangsa-mangsa yang mendakwa menjadi mangsa suspek.

Menurut beliau suspek akan tamat reman untuk kes pertama pada esok (1 Disember 2020).

“Namun begitu ada enam laporan diterima daripada mangsa-mangsa terjejas, iaitu lima di Shah Alam dan satu kes di daerah Petaling Jaya.

“Daripada jumlah itu lima kes sedang disiasat di bawah kesalahan seksual seperti Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol), 354 Kanun Keseksaan (cabul), 377c (seks luar tabii) dan 323 Kanun Keseksaan (mencederakan mangsa) dan satu laporan yang tidak diambil tindakan setakat ini kerana tiada apa-apa kesalahan dikesan.

“Esok ddia akan direman di Mahkamah Shah Alam atas satu laporan polis (aduan rogol) yang baru diterima,” katanya.

“Polis menyeru sekiranya terdapat mangsa lain agar jangan raa bimbang untuk tampil membuat laporan polis,” katanya.

Pelajar kolej pula dakwa jadi mangsa dicabul pendakwah selebriti

Terdahulu, seorang gadis pelajar kolej tempatan mendakwa menjadi mangsa cabul pendakwa selebriti berkenaan dan mangsa yang dalam keadaan trauma kini dirawat di PPUM.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima aduan mangsa yang berusia 22 tahun, sektar jam 3.51 petang semalam.

– MalaysiaGazette