Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Jaminan RM2 bilion Kerajaan Persekutuan untuk pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) dilihat terlalu kecil berbanding 3 peratus daripada RM7 bilion cukai yang diterimanya sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sewajarnya Pulau Pinang menerima peruntukan sama sebelum ini susulan keupayaan negeri itu membayar hutang mengikut jadual dan kadar baki hutang terendah berbanding negeri-negeri lain.

“Prestasi kewangan Pulau Pinang yang kukuh sejak 2008 dibuktikan dengan jumlah hutang paling rendah di antara semua negeri di negara ini sebanyak RM58 juta pada akhir 2018.

“Ini jauh berbeza dengan negeri-negeri yang berhutang dengan Kerajaan Persekutuan lebih daripada RM3 bilion dan gagal (bayar) balik pinjaman.

“Mengapakah Kerajaan Persekutuan boleh bertolak ansur dengan hutang yang belum dibayar sebanyak RM3 bilion daripada negeri-negeri sekutu politik berbanding RM58 juta hutang sedia ada di Pulau Pinang?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ADB hanya akan memberikan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada Pulau Pinang setelah melakukan penilaian yang rapi dan menyeluruh terhadap kemampuan pembayaran balik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pulau Pinang telah lulus penilaian kewangan tersebut berdasarkan hasil prestasi kewangannya yang lalu sejak 2008.

Menurut Guan Eng, projek LRT ini sangat diperlukan untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dan Seberang Perai yang membantutkan prospek pertumbuhan ekonomi.

“Kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan jaminan pinjaman tanpa sebarang justifikasi kewangan tidak lain dan tidak hanya satu pembalasan dendam politik terhadap rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, semasa PH berkuasa, negeri-negeri yang diperintah oleh Pas atau Barisan Nasional (BN) diberi bantuan kewangan ketika mereka tidak dapat menampung perbelanjaan mengurus mereka, termasuk pembayaran gaji penjawat awam kerajaan Negeri.

“Sungguhpun kami berbeza dengan ideologi perkauman dan ekstremisme agama Pas, saya telah meluluskan dana kecemasan sebanyak RM100 juta kepada Kelantan selaku Menteri Kewangan.

“Kelantan boleh dikatakan muflis dan hanya dapat membayar penjawat awamnya pada 2018 dan 2019 dengan bantuan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Secara berasingan, PH turut menepati janjinya terhadap pembayaran royalti minyak dengan RM400 juta kepada Kelantan dan RM200 juta kepada Pahang yang mana ia tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

“Malangnya, Kerajaan Kelantan memilih untuk membeli Mercedes Benz untuk Exco Negeri daripada membantu orang miskin di Kelantan.

“Namun PH dan saya terus dituduh sebagai anti-Melayu atau anti-Islam oleh Pas dan BN yang menikmati pemberian kewangan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Terimakasih kerana meningkatkan kami KEMULIAN hati abang Ajip sewaktu jadi PM….sekadar buat jambatan mahal2 untuk mengintai KESEMPATAN. DApigs memang terbaikkkkk tapi apa erti pembangunan jika Melayu P. Pinang sekadar mampu menikmati sepinggan nasi kandar. Depa hidup 7 keturunan pun takkan mampu nak beli landed houses, apatah lagi kedai atau kilang yg harganya setinggi langit. Pak LAH PUN LELAH nak pernah pikir hal ini… Lu pikir la sendiri

Comments are closed.