Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2020 mendapati bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2019 menurun 1.2 peratus kepada 203,821 berbanding 206,352 pada tahun sebelumnya.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2020 mendapati bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2019 menurun 1.2 peratus kepada 203,821 berbanding 206,352 pada tahun sebelumnya.

Manakala bilangan penceraian melonjak 12 peratus daripada 50,862 pada tahun 2018 kepada 56,975 pada tahun 2019 lalu.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzair Mahidin, selari dengan penurunan bilangan perkahwinan, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki menurun daripada 50.7 kepada 50.1 bagi setiap seribu penduduk lelaki bujang berumur 18 tahun dan ke atas.

Trend yang sama juga bagi pengantin perempuan yang merekodkan penurunan daripada 47.0 kepada 46.2 bagi setiap seribu penduduk perempuan berumur bujang berusia 16 tahun dan lebih.

Kadar perceraian am pula menunjukkan peningkatan bagi lelaki daripada 6.5 kepada 7.2 bagi setiap seribu penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin.

Trend yang sama juga direkodkan bagi perempuan, meningkat daripada 7.0 kepada 7.7 bagi setiap seribu penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang berkahwin.

“Antara  faktor  yang  membawa  kepada perceraian adalah tiada lagi persefahaman, masalah kewangan dan keganasan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, bagi umur penengah pengantin lelaki pula, ia kekal pada 28 tahun bagaimanapun umur pengantin perempuan meningkat daripada 26 tahun (2018) kepada 27 tahun (2019).

“Senario semasa menunjukkan bahawa kecenderungan perkahwinan lewat adalah di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan sedang berusaha mengukuhkan kestabilan ekonomi individu terutama yang tinggal di kawasan bandar,” ujarnya lagi.

Jelasnya, ini sejajar dengan pertumbuhan kadar urbanisasi di Malaysia daripada 70.9 peratus (2010) kepada 76.2 peratus (2019).- MalaysiaGazette