Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bercakap pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur melibatkan tiga kes jenayah yang berlaini sekitar Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis akan menyemak kesahihan gelaran ‘Datuk’ yang kononnya dimiliki seorang saspek yang ditahan bersama 14 lagi lelaki tempatan yang disyaki ahli kumpulan Geng 18, Batu 14 Puchong yang dilaporkan merusuh dan mencederakan seorang anggota polis dalam kejadian di pusat hiburan beberapa hari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kesemua mereka kini direman selama lima hari untuk membantu siasatan.

“Saya tidak mahu cakap atau menggunakan perkataan (kutip wang perlindungan) itu seperti mana dikatakan oleh mangsa terlibat.

“Orang boleh cakap apa sahaja tapi pihak kami masih siasat untuk meneliti dakwaan mangsa,” katanya apabila ditanya mengenai perkembangan kes itu dalam sidang media kejayaan hari ini.

Tambah Saiful Azly, ketika ini kesemua 15 orang saspek itu telah direman selama lima hari untuk kesalahan merusuh.

Bagaimanapun katanya, polis menerima laporan kedua yang mendakwa kesemua mereka juga dikatakan terlibat dengan kes peras ugut terhadap pemilik pusat hiburan.

“Kita sudah reman mereka lima hari untuk membantu siasatan atas kesalahan merusuh tetapi kami terima pula laporan kedua mereka didakwa peras ugut pemilik pusat hiburan yang juga seorang wanita.

“Jadi kita membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan akan direman nanti,” tegasnya lagi.

Ditanya mengenai kesahihan salah seorang saspek mempunyai gelaran ‘Datuk’, Saiful Azly berkata, pihaknya akan menyiasat benar atau tidak gelaran itu atau sekadar panggilan seperti dilaporkan sebelum ini.

“Walaupun seseorang itu mempunyai watikah gelaran pingat kebesaran ‘Datuk’, kita masih perlu ke istana untuk menentukan pengesahan,” katanya tanpa mengulas negeri mana yang dikaitkan gelaran itu.

Pada 27 November lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis telah memulakan siasatan mengenai insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki India termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ di sini baru-baru ini.

Mereka disyaki ahli Geng 18 Batu 14, Puchong dikatakan memukul anggota polis dan membuat kekecohan di sebuah pusat hiburan.

Dalam kejadian lebih kurang 11.30 malam Rabu lalu, pengadu yang merupakan seorang wanita Cina memaklumkan sekumpulan lelaki berbangsa India telah melakukan kekecohan di dalam premis pusat hiburan dengan memukul dan memecahkan barang-barang di dalam premis tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid dalam kenyataan berkata, kesemua suspek telah direman selama dua hari sehingga hari ini dan disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 30 November ini untuk disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

Menurut beliau, polis juga turut menerima satu laporan daripada pemilik premis berkenaan kes peras ugut oleh kumpulan itu yang meminta bayaran wang perlindungan dan disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun hasil siasatan awal polis mendapati kumpulan ini dipercayai merupakan Geng 18 Batu 14, Puchong dan polis memperluaskan lagi siasatan berkaitan kumpulan geng itu selain tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya perlu.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kumpulan Ahli Geng 18 disyaki peras ugut wanita, cederakan polis direman