SEOUL- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memberi penekanan terhadap pelaksanaan dasar-dasar ekonomi ketika mempengerusikan mesyuarat pentadbiran (politburo) Parti Pekerja, lapor agensi berita KCNA hari ini.
Mesyuarat itu diadakan semasa Korea Utara sedang berhadapan cabaran getir akibat pandemik koronavirus.
Pandemik telah menambah tekanan kepada ekonomi Korea Utara yang setelah sekian lama dikenakan sekatan antarabangsa akibat program nuklearnya.
Politburo dengan keras mengkritik garis panduan ekonomi yang gagal menyediakan panduan kepada tugas-tugas berkaitan ekonomi sebelum kongres tahun depan.
“Ia memberi penekanan terhadap keperluan operasi serta arahan yang dilaksanakan melalui dasar-dasar ekonomi Parti Pekerja bersandarkan kepada asas saintifik,” kata KCNA.
Ogos lalu, Jong-un berkata, parti pemerintah akan mengadakan sebuah kongres pada Januari untuk menentukan pelan baharu bertempoh lima tahun dan dalam masa sama parti mengambil maklum, langkah-langkah menambah baik ekonomi negara sudah lama tertangguh.- MalaysiaGazette