Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal di kesemua tiga empangan janakuasa hidroelektrik miliknya bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.-Foto TNB.

KUALA LUMPUR- Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal di kesemua tiga empangan janakuasa hidroelektrik miliknya bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TPGSB), Datuk Nor Azman Mufti berkata, persiapan telah dibuat sejak bulan Ogos lalu.

“Persediaan yang dilakukan termasuk pengurusan paras empangan melalui pelepasan terkawal dan pemeriksaan menyeluruh di stesen-stesen janakuasa milik TNB.

“Selain itu, latihan pengungsian dan ujian tahap ketersediaan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan banjir turut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TPGSB adalah anak syarikat milik penuh TNB yang bertanggungjawab terhadap pengurusan aset-aset penjanaan elektrik milik TNB, termasuk empangan-empangan hidroelektrik TNB di Tasik Kenyir, Terengganu; Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TPGSB), Datuk Nor Azman Mufti

Jelas Nor Azman, selain menjana tenaga hijau kepada negara, empangan-empangan itu turut berfungsi sebagai sistem tebatan banjir yang mengelak daripada berlakunya bencana lebih buruk terutama di kawasan hilir sungai.

“Sebelum musim tengkujuh tiba, paras air empangan diturunkan melalui pelepasan terkawal bagi membolehkan empangan menakung jumlah air hujan yang bakal meningkat.

“Dengan itu, tiada keperluan melepaskan air empangan secara mendadak ketika musim tengkujuh sehingga boleh menyebabkan bencana lebih besar di hilir sungai,” katanya lagi.

Nor Azman turut memberi jaminan kesemua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti itu berada dalam keadaan baik dan selamat.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.- MalaysiaGazette