Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Asrama Pekerja Top Glove di Klang, dilanjutkan lagi selama 14 hari mulai esok hingga 14 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar positif Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang itu masih tinggi, selain ada kes baharu direkodkan.

Kata beliau, daripada 5,805 pekerja yang menjalani ujian saringan, seramai 3,406 disahkan positif Covid-19.

“Berikutan itu, penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pada sidang khas hari ini, yang membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh PKPD itu dua minggu lagi mulai esok.

“Dengan itu, semua pekerja kilang berkenaan diwajibkan menjalani saringan Covid-19 untuk kali kedua dan bagi pekerja warga asing yang keputusannya negatif akan ditempatkan di stesen kuarantin.

Ismail Sabri Yaakob

“Manakala pekerja tempatan pula perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah masing-masing,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, dua PKPD telah ditamatkan mulai tengah malam ini, iaitu melibatkan lokaliti Putra Point Nilai, Negeri Sembilan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas, Perak.

Kata beliau, penilaian risiko oleh KKM di dua lokaliti itu menunjukkan penurunan kes, selain tiada lagi sampel saringan yang positif direkodkan.

“Oleh itu, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan tempoh PKPD Putra Point Nilai di Negeri Sembilan dan Maahad Al-Yahyawiah di Perak, hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, mulai esok, akan bermula ujian saringan bagi warga asing di kilang-kilang yang dikenal pasti oleh Kementerian Sumber Manusia.

Jelasnya, kerajaan telah menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi kilang berkenaan seperti menyediakan stesen kuarantin, pusat kuarantin dan rawatan serta perlu menanggung kos pekerja ke pusat kuarantin.

Kata Ismail Sabri lagi, makan minum pekerja sepanjang menjalani tempoh kuarantin juga perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan, termasuk penginapan, penyediaan pengangkutan dan kos saringan.

Menurutnya, jika mendapat ada pekerja yang disahkan postif Covid-19, tetapi tidak bergejala, mereka boleh ditempatkan di asrama pekerja. – MalaysiaGazette