Sebanyak 20,897 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan diseluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu. - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Selangor mencatatkan kes baharu positif Covid-19 terbanyak hari ini iaitu 402 daripada jumlah keseluruhan sebanyak 1,212 kes.

Kes sembuh pula menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah lebih tinggi dari kes baharu iaitu 2,112.

“Negeri Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 402 kes (33.2 peratus), di mana 308 kes (76.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang giat dijalankan dilapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 326 kes (26.9 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 141 kes (11.6 peratus),” katanya ketika sidang media perkembangan semasa jangkitan Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut memaklumkan tiga kluster baharu dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketiga-tiganya adalah Kluster Jalan Lapan  melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor, Cheras, Kepong, Titiwangsa, dan Lembah Pantai.

“Selain itu Kluster Batu Sembilan di Kuala Langat, Klang, Petaling dan Kuala Selangor dan ketiga adalah Kluster Nibong di Johor Bahru,” jelasnya selain mengisytiharkan lima kluster tamat hari ini.

Selain itu KKM ujarnya mengenalpasti pertambahan tiga kematian hari ini, selain 113 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 42 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.-MalaysiaGazette